Di ambang peperiksaan, ramai yang baharu membuat persediaan, pada saat akhir. Tatkala itu mereka mula galak menyelak helaian demi helaian buku dan bersusah-payah untuk menghafal isi kandungannya. Padah panik dipanah halilintar peperiksaan, pelajar menjadi terburu-buru dalam mengulangkaji. Tiada pengurusan masa yang betul. Natijahnya, agihan masa tidak seimbang. Keadaan menjadi serabut. Longgokan buku yang berselerakan di atas meja atau lantai malah adalah suatu pandangan yang normal. Prinsipnya, mana yang sempat. Suasana inilah yang sering muncul ketika peperiksaan mulai menjengah mereka. Study last minute; itulah yang dinamakan oleh kebanyakan kepada cara belajar yang seumpama ini. Tak asing lagi.
Mengapa begitu? Mengapa ia cukup menjadi pilihan kebanyakan pelajar? Apa kesannya?
Lalai. Budaya. Negatif.
Lalai. Jawapannya kedengaran klise, namun tetap ia adalah punca yang nyata. Lalai membawa kepada melengah-lengahkan sesuatu, procrastinating kata orang barat. " Niat dah ada. " selalu kita dengari. Lalai kerana lupa matlamat. Lalai kerana kurang cermat. Jika bercakap tentang lalai, banyak perkara yang boleh dikaitkan. Jiwa muda, lebih-lebih lagi baru terlepas daripada pengawasan ibu bapa, menjadi isyarat bagi mereka meraihkan 'kemerdekaan' yang entah apa-apa. Hiburan dikejar. Pergi ke kelas semata-mata untuk menjaga kedatangan yang markahnya akan dicampur dalam carry mark. Ilmu yang diambil setakat yang lalu pada telinga mereka. Yang lalu itu pun ada yang ditolak ketepi untuk membenarkan mereka berborak di dalam kelas atau mengelamun seorang diri. Lalai kerana rakan-rakan yang acap kali mengajak untuk berhibur. Lalai kerana suasana. Lalai kerana... Ah, cukup setakat itu soal lalai. Jika berbicara tentangnya pasti tak sudah. Walau dalam konteks pelajar sekalipun, ianya masih luas.
Sedikit kelebihan tentang budaya ini adalah ingatan tentang sesuatu subjek itu masih segar. Manakan tidak, esok paper Law, malam ini baru ulangkaji. Segar, aku akui. Siapa pula yang mahu bantah. Namun, tanyalah mereka tentang subjek itu enam bulan selepas itu. Adakah mereka masih ingat. Atau sekadar sisa yang diberikan. Jika tetap, maka tahniah. Hebat. Implikasi yang sebenarnya hasil budaya ini adalah ilmu yang meresapi fikiran hampir tidak mungkin melekat duduk lama di dalam bekas memori. Setiap ruang yang longgar akan membantu meloloskan ilmu yang dipelajari. Mungkin masih ada yang tersisa, namun yakinkah ilmu itu pada landasnya? Atau terkeliru dengan fakta lain? Bolehkah ilmu itu dijadikan bahan bahasan? Ingin disuarakan namun ragu-ragu, tinggal keliru sehingga hilang keyakinan.
Perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa yang lalu, kata Imam Ghazali pada anak-anak muridnya. Lihatlah 5 tahun yang lepas, " Masa telah menjauhi aku". Lihat pula 10 tahun yang lepas, " Ah, masa telah benar-benar menjauhi aku." Didiklah diri kita untuk menguruskan masa dengan sesuai. Supaya kita tidak pandang masa lampau dengan hiba, meratapinya. Jangan kerana apa yang kita buat kali ini akan menjadi perkara yang akan dikesali kelak. Persiapkanlah diri. Kelak, titiskanlah air mata kerana kemenangan, jangan kerana tewas yang ditangisi. Persiapkanlah diri. Kelolakanlah hati dengan baik. Kejarlah kejayaan dengan cara yang efektif dan halal.
Ilmu untuk faham. Peperiksaan sebagai medan pengukur.
Memang manusia itu lumrahnya tidak lari daripada sifat pelupa. Namun jangan ia dijadikan perisai untuk terus melakukan kesilapan. Kata orang, sudah diketuk baru hendak bergerak. Sudah dilanda bah, baru bersusah mencari tempat selamat.
Ya Allah, jadikanlah kami orang yang memiliki ilmu lantas menyebarkannya. Alangkah untungnya kami jika demikian, Ya Allah. Amin.

No comments:
Post a Comment