Friday, 16 September 2011

Tiada berbuah kejayaan tanpa dibajai usaha

Yakinlah pada diri itu ada terselit kebaikan,
Sejahat mana,
Sejahil mana.
Kembangkanlah ia menjadi kuasa.
Biar ia menjadi faktor yang menguasai diri.
Meliputi segenap hati.
Biar keburukan menjadi minoriti.
Disisih dan dipinggiri.



Tiupkanlah usaha,
Agar api kejayaan terus marak membakari.
Tanpa kenal lelah terus ke hadapan.
Tanpa melupakan latar belakang.
Tanpa melupakan tujuan.
Carilah cahaya,
Jadilah cahaya,
Moga jalan kelam diterangi.
Lilin itu membakar dirinya sendiri demi manfaat,
Daun itu merelakan dirinya diratah demi faedah kepada ulat,
Seraplah watak mereka.
Agar pengorbanan menjadi saksi kemuliaan,
Di dalam perjalanan mencari keredhaanNya.






Peperiksaan

Di ambang peperiksaan, ramai yang baharu membuat persediaan, pada saat akhir. Tatkala itu mereka mula galak menyelak helaian demi helaian buku dan bersusah-payah untuk menghafal isi kandungannya. Padah panik dipanah halilintar peperiksaan, pelajar menjadi terburu-buru dalam mengulangkaji. Tiada pengurusan masa yang betul. Natijahnya, agihan masa tidak seimbang. Keadaan menjadi serabut. Longgokan buku yang berselerakan di atas meja atau lantai malah adalah suatu pandangan yang normal. Prinsipnya, mana yang sempat. Suasana inilah yang sering muncul ketika peperiksaan mulai menjengah mereka. Study last minute; itulah yang dinamakan oleh kebanyakan kepada cara belajar yang seumpama ini. Tak asing lagi.

Mengapa begitu? Mengapa ia cukup menjadi pilihan kebanyakan pelajar? Apa kesannya?

Lalai. Budaya. Negatif.

Lalai. Jawapannya kedengaran klise, namun tetap ia adalah punca yang nyata. Lalai membawa kepada melengah-lengahkan sesuatu, procrastinating kata orang barat. " Niat dah ada. " selalu kita dengari. Lalai kerana lupa matlamat. Lalai kerana kurang cermat. Jika bercakap tentang lalai, banyak perkara yang boleh dikaitkan. Jiwa muda, lebih-lebih lagi baru terlepas daripada pengawasan ibu bapa, menjadi isyarat bagi mereka meraihkan 'kemerdekaan' yang entah apa-apa. Hiburan dikejar. Pergi ke kelas semata-mata untuk menjaga kedatangan yang markahnya akan dicampur dalam carry mark. Ilmu yang diambil setakat yang lalu pada telinga mereka. Yang lalu itu pun ada yang ditolak ketepi untuk membenarkan mereka berborak di dalam kelas atau mengelamun seorang diri. Lalai kerana rakan-rakan yang acap kali mengajak untuk berhibur. Lalai kerana suasana. Lalai kerana... Ah, cukup setakat itu soal lalai. Jika berbicara tentangnya pasti tak sudah. Walau dalam konteks pelajar sekalipun, ianya masih luas.

Sedikit kelebihan tentang budaya ini adalah ingatan tentang sesuatu subjek itu masih segar. Manakan tidak, esok paper Law, malam ini baru ulangkaji. Segar, aku akui. Siapa pula yang mahu bantah. Namun, tanyalah mereka tentang subjek itu enam bulan selepas itu. Adakah mereka masih ingat. Atau sekadar sisa yang diberikan. Jika tetap, maka tahniah. Hebat. Implikasi yang sebenarnya hasil budaya ini adalah ilmu yang meresapi fikiran hampir tidak mungkin melekat duduk lama di dalam bekas memori. Setiap ruang yang longgar akan membantu meloloskan ilmu yang dipelajari. Mungkin masih ada yang tersisa, namun yakinkah ilmu itu pada landasnya? Atau terkeliru dengan fakta lain? Bolehkah ilmu itu dijadikan bahan bahasan? Ingin disuarakan namun ragu-ragu, tinggal keliru sehingga hilang keyakinan.




Perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa yang lalu, kata Imam Ghazali pada anak-anak muridnya. Lihatlah 5 tahun yang lepas, " Masa telah menjauhi aku". Lihat pula 10 tahun yang lepas, " Ah, masa telah benar-benar menjauhi aku." Didiklah diri kita untuk menguruskan masa dengan sesuai. Supaya kita tidak pandang masa lampau dengan hiba, meratapinya. Jangan kerana apa yang kita buat kali ini akan menjadi perkara yang akan dikesali kelak. Persiapkanlah diri. Kelak, titiskanlah air mata kerana kemenangan, jangan kerana tewas yang ditangisi. Persiapkanlah diri. Kelolakanlah hati dengan baik. Kejarlah kejayaan dengan cara yang efektif dan halal.

Ilmu untuk faham. Peperiksaan sebagai medan pengukur.

Memang manusia itu lumrahnya tidak lari daripada sifat pelupa. Namun jangan ia dijadikan perisai untuk terus melakukan kesilapan. Kata orang, sudah diketuk baru hendak bergerak. Sudah dilanda bah, baru bersusah mencari tempat selamat.

Ya Allah, jadikanlah kami orang yang memiliki ilmu lantas menyebarkannya. Alangkah untungnya kami jika demikian, Ya Allah. Amin.

Friday, 2 September 2011

Perhatikan Langkahmu

Berwaspadalah tatkala melalui jalan yang berlumpur. Takut terpalit ia pada pakaian.

Lebih-lebih lagi pakaian yang putih bersih.

Sengaja aku selitkan gambar yang diciplak daripada deviantart
 ini untuk pembaca lebih mengenali akan lumpur.

P.S : Pesan aku pada diri sendiri dan orang sekeliling.

Thursday, 1 September 2011

Kali Ini Juga

Pada pagi yang hening ini, masih gelap. Namun telah bersuara gagak memecah kesunyian. Tidak aku kira telah berapa kali, namun kali ini aku pergi lagi ke sana. Penting. Harus aku menebus kesilapan aku yang bersengkokol dengan penceroboh dalam sedar, sejarah buruk yang mencakar hati sebelum ini. Sehingga aku berani mengkhianati. Sehingga aku menjadi hamba kepada kerajaan gelap. Walau begitu aku lepas lari dek kawalannya yang longgar di suatu sudut. Kali ini aku pulang untuk menjadi raja kembali. Memerintah rakyat yang taat sedia menunggu, walau pernah dikhianati oleh aku; raja yang zalim. Bersama hati yang hiba aku gagahkan. Tidaklah aku ingin mempersia-siakan lagi kepercayaan mereka, sudah cukup berkali-kali sebelum ini. Kali ini aku menyusun kota agar lebih kuat untuk bertahan daripada serangan musuh. Kali ini aku perlu lebih kreatif dan berhati-hati. Supaya tidak lompang pertahanan kerajaan yang dibina daripada segenap penjuru pun. Kota ini perlu lebih kukuh, binaannya serta satu-padu disebalik kota ini. Musnahnya seketul batu itu adalah kunci kepada musuh untuk memasuki. Pesan aku yang hina ini, berhati-hatilah kali ini.

Banyak kisah yang telah dikhabarkan. Namun apa yang telah kita ambil daripadanya?


Kali Pertama

Pada pagi raya yang keempat ini, aku telah berjaya mendaftarkan blog dengan jayanya hasil usaha sendiri berpandukan instruction daripada website ini sendiri. Mudah! Memang mudah! Tidak sukar untuk memiliki blog sendiri (dengan gaya mempromosikan)! Haha.

Telah lama aku simpan hasrat ini sebenarnya. Lagi pula dibakar dengan gaya penulisan blog lain dan bahan bacaan yang memainkan perkataan-perkataan yang membuat fikiran ini ligat memprosesnya. Banyak perkataan lagi yang aku masih belum ketahui, sungguh. Setelah menelaah muntahan idea mereka itu, aku terpanggil untuk ke sini. Untuk mengolah. Sebelum ini pun sudah berhajat ingin mendaftar blog sendiri namun tidaklah bersungguh atau aku fikir tiada masa untuk menguruskannya nanti. Tapi apalah yang nak dikisah, biarlah bersawang pun, bukan ada apa. Lalu aku pun cubalah mengambil langkah pertama untuk ke alam maya ini.

Sekadar suka, aku menulis. Sekadar peringatan, aku menulis. Sekadar meluahkan rasa, aku menulis. Sekadar mereka cipta, aku menulis. Sekadar itu sahaja aku harapkan.