8.15 pagi. Perhentian bas di bandar Kuala Lumpur. 12 Mac 2111.
Hujan yang sangat lebat daripada pukul 3.30 pagi tadi baru sahaja berhenti.Reen keluar awal hari itu, tidak hirau dibasahi hujan. Pagi itu sepi buat Reen. Pagi yang dukacita. Igauan semalam masih bermain di kotak pemprosesan. Cuaca masih mendung, menambah suram di hatinya.
Pagi itu jalan raya lengang tanpa ada kenderaan yang menyusur. Reen bangun dari duduknya. Pandangan hanya dilemparkan ke bawah, sambil dia kelihatan sedang kusut memikirkan sesuatu. Reen melangkah dengan berat sekali untuk ke seberang jalan. Bajunya masih lencun.
Bunyi air yang deras mengalir ke longkang besar menjadi bunyi latar. Burung-burung mula berkicau, baru keluar dari tempat berlindung daripada hujan. Sekali-sekala ada kenderaan bergerak melalui batang jalan itu. Itu pun boleh dikira. Tak hairanlah, saat itu manusia sedang sibuk bekerja, sudah ambil tempat di kerusi pejabat.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Razif adalah pemandu lori bagi syarikat pembekal ais ke restoran-restoran di sekitar Jalan Tun Abdul Razak. Dia bersama kelindannya Husni dalam perjalanan untuk menghantar bekalan kepada pelanggan syarikatnya. Sedari dari kilang tadi, mereka asyik berbual tentang perlawanan bola sepak antara Liverpool dan Manchester United yang berlangsung semalam. Mereka berkongsi minat yang sama terhadap Liverpool sebagai pasukan kegemaran. Masing-masing rancak memberi komen. Daripada kesilapan pemain dan penjaga gol hinggalah membincangkan tentang sepakan percuma cantik yang berhasil menembusi gol lawan. Razif senyum puas mengenangkan pasukan yang disokongnya meraih kemenangan. Husni turut senyum sama.
Tingkap diturunkan separuh. Husni mengambil kotak rokok di dalam poket seluarnya. Dikeluarkan sebatang rokok dan disuakan ke mulutnya. Sebatang lagi rokok dikeluarkan dan dihulur kepada rakannya itu. Razif mengambilnya dan dikemamnya sementara menunggu Husni membantunya menyalakan rokok itu.
Asap berkepul-kepul melarikan diri daripada ruang kabin. Lori yang dipandu Razif sedikit laju oleh kerana jalan yang kosong sebegitu. Cuaca masih gelap kerana hujan baru sahaja berhenti. Awan mendung masih belum beredar dan menampakkan matahari. Permukaan jalan masih basah dan masih ada yang digenangi air berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna.
Puntung rokok dijentik keluar. Razif menyeka matanya yang sedikit kabur. Dengan cuaca yang sedikit buruk itu, Razif hanya berpandukan garisan putih jalan supaya tidak tersasar. Sesekali dia mengelak lubang yang disedarinya. Husni pula sibuk menaip pesanan ringkas untuk dihantar pada isterinya. Razif menggosok-gosok matanya. Kali ini kelibat Reen tiba-tiba sudah hampir benar. Berbaju gelap sesuai dengan keadaan yang gelap sebegitu langsung tidak memberi amaran pada mata Razif. Tidak sempat lagi untuknya mengelak. Razif tidak mempunyai pilihan. Pedal brek ditekan semahunya. Disebabkan permukaan jalan yang basah, keempat-empat tayar lori tersebut sedikit pun tidak mencengkam jalan. Malah lorinya terus meluncur laju. Razif sempat membunyikan hon berkali-kali pada Reen dengan harapan dia mengelak. Malang, Reen tak endah.
BAMMMM!!!
Tubuh Reen tercampak sekitar 5 ela jauhnya. Lalu, terbaring di tengah jalan. Razif dan Husni masing-masing memeriksa keadaan mereka. Mujur kedua mereka teringat untuk memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan. Namun debar mereka belum tamat. Serentak mereka berpaling ke arah tercampaknya Reen tadi. Diamati, tiada. Husni menggerakkan Razif sambil menunjuk ke arah bahu jalan di sebelah kanan Razif. Dilihatnya Reen sedang berjalan seperti biasa, tanpa ada kesan daripada pelanggaran tadi. Mereka sama-sama hairan, membisu. Hanya memerhatikannya dari jauh. Reen sedikit membongkok. Tiba-tiba muncul api dari kedua tapak kaki Reen. Tekanan api itu membuatkan Reen terapung beberapa inci daripada permukaan. Reen memaling ke arah mereka, melemparkan pandangan sayu. Matanya seperti ingin memberitahu kesedihannya kepada mereka. Dengan satu tujahan yang kuat, Reen terbang melayang ke atas hingga lesap daripada pandang mereka. Razif dan Husni kaku.